Setitis Tinta Seribu Bicara

pergilah berjuang wahai teman
pergilah berjihad wahai taulan
carilah guru, dapatkan pengetahuan
tanggungjawab digalas dan bukannya beban
kewajipan manusia sepanjang zaman
"negeri China", pepatah berpesan
menuntutlah ilmu sehingga ke kuburan
menjadi peneman sepanjang zaman
ilmu bukan untuk dimegah, tetapi menjadi pedoman
yang membezakan manusia dan haiwan
yang mempunyai akal dan juga fikiran
sebagai khalifah amanah di diberikan
mentadbir alam ciptaan Tuhan
sesungguhnya, hidupnya insan
mempunyai tugas dan peranan
agar bersedia di hari kemudian....





Karya

Aku duduk seketika. Bersila menghadap komputer riba yang ibu beli empat tahun lepas. Aku melihat keseluruh pelusuk skrin. Tiada apa yang aku cari. Hanya melihat sahaja. Aku berasa seronok sambil mengubati hati aku yang tengah gundah. Aku mencari hiburan untuk mengubat hati aku ini. Jika sebelum ini aku bosan melihat skrin komputer riba, hari ini aku begitu berminat untuk melihat. Aku dapat rasakan inilah yang paling menyeronokkan. Aku merasakan dunia ini aku sahaja penghuninya. Sambil mata melirik ke skrin, tangan aku teraba-raba menekan-nekan butang papan kekunci. Aku pun tak tahu apa aku tekankan. Komputer riba model Acer Aspire 5570 buatan China inilah yang menjadi kawan baik aku yang kedua selepas telefon bimbit aku, Nokia E75. Setiap kali aku berasa sedih, rasa kesunyian, inilah kawan aku. Aku semakin kusut. Tak tahu apa yang nak aku lakukan lagi. Skrin komputer riba yang aku lihat tadi dah menjadi tawar. Minat aku untuk melihat skrin itu dah hilang. Aku melihat jam tanganku, " Oh! Baru pukul 3.30 petang". Bisikku kecil. 




Aku bingkas bangun dari atas tilam yang tidak beralas cadar lalu mencapai kunci kereta yang berada diatas meja kecil di sebelah rak buku yang aku beli di pasaraya Tesco dua bulan lepas yang berharga Rm18.90. Aku turut mencapai telefon bimbit bersama dompetku di sebelah printer Canon MP140. Aku terus menuju ke muka pintu rumah yang dicat warna kekuning-kuningan. Tanpa menghiraukan rakan-rakan aku yang sedang tidur di ruang tamu, aku terus keluar dan memanaskan enjin kereta Perodua Kancil 850cc milik abang aku. Sambil menunggu enjin kereta aku panas, otak aku berputar ligat memikirkan kemana hala hendak aku tuju. Aku menemui jalan buntu, namun aku terus masuk ke dalam kereta. Penghawa dingin aku pusingkan kelajuannya kepada angka tiga kerana cuaca pada hari ini agak panas sambil aku menutup pintu kereta yang masih belum aku tutup. Sampah plastik pembungkus makanan ringan Twisties yang aku beli di Stesen pam minyak semasa aku singgah berehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Air Keroh minggu lepas masih terletak rapi di karpet pemijak penumpang hadapan. Keadaan sofa kerusi yang ada tompok kesan air milo yang ditumpahkan anak saudaraku juga turut kelihatan bekasnya walaupun kesan tersebut telah kering. Dalam keligatan otak aku berfikir, aku mengundurkan kereta dan terus meluncur laju di atas jalan kawasan Taman U.K Raya ni. 


Pergerakan kereta terberhenti di simpang tiga, arah menghala ke Ipoh jika belok ke kiri dan Tanjung Rambutan jika membelok ke kanan. Tanpa berfikir, aku terus membelok ke kiri dan memandu dalam kelajuan yang sederhana. Sambil aku memandu otakku berfikir mengenai perkara yang berlaku malam kelmarin. 

         " Aku rasa bosan lah. Hang ada kredit tak? kalau ada, malam ni kita sembang nak?"
         " Kredit adalah sikit. Boleh kot. "
         " Hai. Macam tak nak mesej dengan aku jer. Iyelah. Siapalah aku kan. Dahlah tak hensem, kurang pandai pula tu. Tak macam hang, bijak. Pointer pun tinggi. "
         " Eh? Kau ni kenapa pula nak cakap macam tu. KIta sama saja. Tak ada bezanya pun "